
Sabtu, 28hb Mac 2009/ 1 Rabiulakhir 1430H - Dewan Betabur Kementerian Pembangunan.
Pasukan lelaki dari Jabatan Ukur dan pasukan wanita dari Jabatan Kemajuan Perumahan masing-masing menjuarai pertandingan Dikir Syarafil Anam Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya bagi tahun 1430H/ 2009M.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Tetamu Kehormat majlis, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien, Pemangku Menteri Pembangunan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Sallehudin bin Pengiran Tajuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid.
Pertandingan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan bersempena dengan sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.
Seramai lapan (8) pasukan menyertai pertandingan akhir berkenaan iaitu 4 pasukan lelaki terdiri dari wakil Jabatan Perkhidmatan Teknikal,JKR, Jabatan Ukur, Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Kemajuan Perumahan manakala 4 pasukan wanita terdiri dari wakil Jabatan Ukur, Jabatan Perkhidmatan Bangunan,JKR, Jabatan Tanah dan Jabatan Kemajuan Perumahan.
Program kegiatan seni yang bercorak keagamaan ini terus dipertandingkan dan ianya dijadikan satu aktiviti tahunan Kementerian Pembangunan yang mana ianya sebahagian cara penghayatan agama menerusi bidang seni dan juga bertujuan bagi mengekalkan masyarakat beragama dan berbudaya dengan mempraktikan ilmu seni dikir yang turun temurun.
DK NORHAMDIYAH BTE PG AHMAD
Spread the Word!