english  |  malay

Spread the Word!

MAJLIS PERASMIAN PAMERAN RUMAH MASA DEPAN UNTUK RAKYAT, ‘FUTURE HOMES FOR THE NATION’

18/01/2011

Pada 10 Safar 1432 bersamaan 15 Januari 2011, bertempat di Atrium, The Mall Gadong, berlangsungnya Majlis Perasmian Pameran Rumah Masa Depan Untuk Rakyat 'Future Home For The Nation'. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subahanahu Wataala dan dengan berkat daulat Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana sehingga pada masa ini Skim Perumahan Negara telah dapat bertahan, bahkan berkembang maju. Skim Perumahan Negara telah menjangkau usianya 50 tahun dan sehingga kini kepesatan kemajuan pembangunannya telah meliputi keempat-empat daerah di seluruh negara ; daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Menyentuh Majlis kita pada pagi ini, Jabatan Kemajuan Perumahan mengadakan Pameran Rumah Masa Depan Untuk Rakyat atau ‘Future Homes For The Nation’ Sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia 2010. Tema Sambutan Hari Habitat Sedunia pada kali ini menurut sepertimana yang ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah ‘Better City, Better Life’ atau pengertiannya dalam Bahasa Melayu “Bandaraya Teratur, Kehidupan Selesa”

Tema ini dilihat dapat memberi kesedaran dan dorongan motivasi kepada kita bahawa betapa pentingnya untuk kita sama-sama membina sebuah kesinambungan dunia perbandaran dengan meraih peluang dan mengenal pasti potensi yang ada. Kita dengan sedaya upaya mengelakkan ketidaksamaan. Dengan itu, relevansinya pada tugas dan tanggungjawab Jabatan ini ialah bagi dapat menyediakan perumahan untuk semua lapisan peringkat masyarakat.

Menyedari akan permintaan perumahan yang begitu tinggi, Kerajaan sangat komited dalam memenuhi kehendak keperluan orang ramai, sungguhpun pelbagai cabaran ditempuhi. Berbagai usaha dan perancangan untuk memastikan program perumahan akan terus berkembang maju. Alhamdulillah dengan strategi perancangan menjelang 2014, lebih kurang 17,500 buah perumahan dan lot-lot tanah akan disediakan iaitu lebih 11,000 di kawasan-kawasan daerah Brunei dan Muara, lebih 4,000 di daerah Belait, lebih 2,000 di daerah Tutong dan di Temburong sebanyak lebih 400. InsyaAllah dengan perancangan yang tersusun ini, tempoh menunggu untuk diperuntukkkan perumahan dari 17 – 20 tahun sebelumnya, akan dapat dikurangkan kepada tempoh 5 – 12 tahun.

Menariknya dalam pameran kali ini di mana pihak Jabatan turut mempamerkan konsep perumahan di masa akan datang. Perumahan di masa akan datang ini cuba menanai konsep ‘Live, Work, Learn and Play’. Konsep ini akan dijadikan sebagai teras dalam pembangunan sesebuah kawasan perumahan dengan tidak mengabaikan nilai-nilai atau norma-norma tatasusila kehidupan masyarakat Brunei. Hasrat untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat telah menjadi elemen penting dalam perancangan tersebut. Perimustahaknya dalam pembangunan di masa akan datang ialah dengan mengambil kira penggunaan tanah yang berdaya tahan, penjimatan tenaga ‘energy efficiency’ dan penggunaan kaedah ‘green-building’. Ini juga adalah usaha yang berterusan untuk mempertahankan persekitaran semula jadi.

Pameran modal rumah yang dipamerkan dalam Pameran ini dibina dengan skala 1 : 1 dengan tujuan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat dan merasai konsep perumahan di masa akan datang. Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Perumahan juga menyediakan borang kajiselidik rumah pangsa dengan objektif untuk mengenal pasti maklumbalas daripada orang ramai mengenai kesesuaian rumah pangsa bagi Skim Perumahan Negara. Selain daripada mempamerkan konsep perumahan itu, sebanyak 25 petak pameran juga dibukakan yang terdiri daripada 21 buah Syarikat-Syarikat Pembinaan yang mempamerkan produk masing-masing.

Majlis pelancaran Pameran Rumah Masa Depan Untuk Rakyat atau ‘Future Home For The Nation’ Sempena Hari Habitat Sedunia dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pembangunan selaku Tetamu Kehormat. Turut hadir pada Majlis ini ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap – Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Ketua-Ketua Jabatan di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong.

Jabatan Kemajuan Perumahan dengan sukacitanya mempersilakan dan mengalu-alukan kepada Orang Ramai untuk datang berkunjung menyaksikan Pameran ini. Pameran yang diadakan di Atrium The Mall Gadong ini akan berlangsung selama 3 hari bermula pada hari ini 15 hingga 17 Januari. Waktu Pameran dibukakan untuk Orang Ramai adalah bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Di dalam kesempatan ini juga bersempena Sambutan Hari Habitat Sedunia, Jabatan Kemajuan Perumahan telah merancang pelbagai aktiviti selepas ini seperti Acara Basikalton, Peraduan Mewarna dan Peraduan Fotografi. Kesemua acara-acara tersebut dibukakan kepada Orang Ramai. Keterangan lanjut mengenainya, abiskita boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Perhubungan Awam, Jabatan Kemajuan Perumahan dengan talian 2382145 ext 160 & 162 atau melayari laman web Jabatan www.perumahan.gov.bn

Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam