
Pada Hari Isnin, 27 Rabiulakhir 1431H @ 12hb. April 2010M, seramai 111 pemohon yang telah berjaya mengikuti Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) pagi tadi telah menghadiri Majlis Pengundian bagi menentukan lot-lot rumah yang ditawarkan bertempat di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama, Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Setiausaha-Tetap (Pentadbiran & Kewangan), Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.
Majlis pengundian dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Mulia Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
Majlis pengundian ini adalah bagi pemohon yang berjaya mengikuti Rancangan Perumahan Negara Kampong Rimba, Gadong di mana seramai 17 pemohon memilih rumah jenis Deluxe, 31 pemohon memilih rumah jenis Standard dan 63 pemohon memilih rumah teres yang telah membuat undian bagi menentukan lot rumah masing-masing. Jenis-Jenis rumah yang ditawarkan dalam Skim ini adalah jenis rumah 2 tingkat iaitu rumah jenis Deluxe yang berharga $92,000.00 dan rumah jenis Standard berharga $83,000.00 serta unit rumah teres dengan harga jualan $45,000.00 bagi unit sudut manakala unit pertengahan dijual dengan harga $43,000.00.

Sejurus selesai acara pengundian tersebut, Tetamu Kehormat majlis mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima yang berjaya memiliki rumah sendiri dan menyarankan supaya para pemilik sentiasa mematuhi segala Syarat dan Peraturan yang telah disampaikan semasa sessi taklimat selama 2 hari yang telah diadakan pada Hari Rabu, 7hb. April 2010M dan Hari Khamis, 8hb. April 2010M. Tujuan taklimat adalah untuk memaklumkan kepada mereka yang berjaya mengikuti Rancangan Perumahan Negara ini supaya bertanggungjawab dan mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk sama-sama akan sentiasa memainkan peranan dengan pihak Kerajaaan terutama sekali pembayaran balik pinjaman rumah bagi mengelakan sebarang tunggakan. Sebarang penambahan/ubahsuai rumah hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak Kerajaan yang berkenaan.
Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam
Spread the Word!