english  |  malay

Spread the Word!

MAJLIS PECAH TANAH BAGI PEMBUKAAN KAWASAN RANCANGAN PERUMAHAN NEGARA KAMPUNG TANAH JAMBU

01/11/2009

Sambutan Hari Habitat Sedunia tahun 2009 membawa tema ’MERANCANG MASA DEPAN BANDAR KITA’ ATAU ‘PLANNING OUR URBAN FUTURE’.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Perumahan akan mengadakan Majlis Pecah Tanah bagi Pembukaan Kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu Sempena Hari Habitat Sedunia 2009 yang akan diadakan pada Hari Sabtu, 27 Syawal 1430H @ 17hb. Oktober 2009M bertempat di Kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu, Negara Brunei Darussalam bermula jam 8.15 pagi dan akan dirasmikan pelancarannya oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.

Berhubungkait dengan tema Hari Habitat Sedunia 2009 iaitu ’MERANCANG MASA DEPAN BANDAR KITA’ maka Jabatan Kemajuan Perumahan mengungkayahkan Majlis Pecah Tanah bagi Pembukaan Kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu Negara Brunei Darussalam sebagai usaha Kerajaan untuk meningkatkan penghasilan rumah bagi memenuhi keperluan perumahan dan sedang giat melaksanakan pembinaan kira-kira 2136 buah kediaman yang dijangka siap pada tahun 2012. Sehingga kini Jabatan Kemajuan Perumahan telah memperuntukan lebih 11,000 buah rumah kepada pemohon-pemohon yang layak.

Setelah acara pecah tanah selesai, Tetamu Kehormat majlis iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam dipersilakan menyaksikan pameran projek-projek Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati di Bawah RKN 2007 – 2012 dan membuat lawatan ke tapak-tapak projek bagi meninjau perlaksanaan pembinaan kerja-kerja infrastruktur dan perumahan yang giat dilaksanakan di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kg. Tanah Jambu.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam