Bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini terjamin, semenjak tahun 1950an lagi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan dan melaksanakan beberapa program perumahan di seluruh negara. Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) adalah di antara skim perumahan utama yang berjalan pada masa ini.
Selaras dengan wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 dan dalam usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran perumahan bagi memenuhi keperluan perumahan di Negara Brunei Darussalam, lebih dari 17,500 buah rumah dan lot-lot tanah telah dirancang dan sedang dilaksanakan diseluruh negara. Dari jumlah ini, lebih dari 10,000 unit perumahan dan lot-lot tanah adalah di bawah perlaksanaan Kementerian Pembangunan, iaitu melalui Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Kerja Raya. Sementara selebihnya dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei.
Setakat ini, beberapa kontrak perumahan telah berjalan bagi pembinaan lebih kurang 3,400 unit perumahan dan lot-lot tanah di beberapa kawasan perumahan diseluruh negara. Sementara beberapa kontrak lagi adalah di dalam proses tawaran yang mana akan menghasilkan lebih 4,600 unit perumahan dan lot-lot tanah. Selain dari itu, beberapa projek lagi yang akan menghasilkan lebih 2,000 unit perumahan dan lot-lot tanah dijangka akan ditawarkan pada tahun 2010 ini bagi mencapai penghasilan lebih 10,000 unit perumahan dan lot-lot tanah menjelang tahun 2012.
Majlis Menandatangani Kontrak Projek-Projek Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu, Kampong Meragang dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Tanah Jambu, Daerah Brunei dan Muara Serta Rancangan Perumahan Negara Kampong Lumut/Sg Liang Daerah Belait telah ditandatangani oleh Pengarah Kemajuan Perumahan dan Ketua Pengarah Kerja Raya bagi pihak Kerajaan dengan pemborong-pemborong yang berjaya.
Hadir bagi menyaksikan penandatanganan kontrak-kontrak di bawah Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Kerja Raya bagi pihak Kerajaan dengan syarikat-syarikat pemborong yang berjaya ialah Yang Berhormat, Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada hari ini 17hb Rabiulawal 1431H bersamaan 3hb Mac 2010 di Dewan Betabur, Bangunan Kementerian Pembangunan, Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Sejumlah 6 kontrak telah ditandatangani pada hari ini, yang mana akan menghasilkan lebih 2,300 buah rumah dan lot-lot tanah di empat kawasan perumahan iaitu :-
I. Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu,
II. Perumahan Negara Kampong Meragang,
III. Perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Tanah Jambu, dan
IV. Perumahan Negara Kampong Lumut/Sg Liang.
Secara keseluruhan kontrak-kontrak yang ditandatangani pada hari ini bernilai lebih dari $260 juta dan kerajaan telah memperuntukan lebih $1.5 billion di bawah Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012 bagi projek-projek perumahan di bawah Skim Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ).
Perumahan Negara Kampong Meragang dan Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu dengan keluasan 915Hektar adalah dijangkakan akan menempatkan lebih 4,000 unit perumahan dan lot-lot tanah. Perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Tanah Jambu dengan keluasan 60 hektar akan menempatkan lebih 850 unit perumahan sementara Perumahan Negara Kampong Lumut/Sg Liang dengan keluasan 282Hektar akan menempatkan lebih 2,000 unit perumahan dan lot-lot tanah.
Turut hadir pada Majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Ameenah Bushral Bulqiah binti Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bagi mewakili salah sebuah syarikat pemborong iaitu Haaqqah (B) Sdn Bhd, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Hj Mat Suny bin Hj Mohd Hussein, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Awg Hj Shafie bin Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan di bawah Kementerian Pembangunan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong serta jemputan-jemputan khas.
Senarai dan maklumat kontrak-kontrak yang ditandatangani adalah seperti berikut:-
| BIL | TAJUK PROJEK | NAMA KONTRAKTOR | DITANDATANGANI OLEH | DISAKSIKAN OLEH |
|---|---|---|---|---|
| 01 | Proposed 300 houses for National Housing Scheme at Kg. Meragang, Contract H9, H10, H11 & H12, Brunei Darussalam. (reduced scope of works) | Haaqqah (B)Sdn. Bhd. | YAM Pg. Anak Hajah Ameenah Bushral Bulqiah binti YAM Pg.Lela Cheteria Sahibun Najabah Pg. Anak Haji Abdul Aziz | YM Lim Chih Siong |
| 02 | Proposed Infrastucture Phase 1 & Phase 2, 266 semi-detached houses and 158 terrace houses (Contract H1, H2 & H3) for National Housing Scheme at Kg. Tanah Jambu, Brunei Darussalam. | Nikkoh Construction & Development Sdn. Bhd. | YM Wong Su Seh | YM Siti Alam binti Haji Mahari |
| 03 | Proposed Infrastucture Phase 3 & Construction of 490 units new detached houses, Contract H7 & H8 for National Housing Scheme at Kg.Lumut/Sg. Liang,Kuala Belait, BruneiDarussalam | Syarikat Kejuruteraan Sistematik Sdn. Bhd. | YM Pg. Omar bin Pg. Sabtu | YM Chong Kuang Seng |
| 04 | Retender Infrastucture Stage 2, Contract 5 (completion of balance works) and Proposed Construction of 358 units new detached houses, Contract H3, H4, H5 & H6 forNational Housing Scheme at Kg. Meragang, Brunei Darussalam. | TSL Construction Sdn. Bhd. | YM Shawn Tang | YM Maxwell Glover |
| 05 | Proposed 361 double storey houses for National Housing Scheme at Kg.Meragang, Contract H13 & H14 (183 houses) and H15 & H16 (178 houses), Brunei Darussalam. | Thong & Thong Sdn. Bhd. | YM Ong Tock Seng | YM Dyg. Jamilah binti Haji Ibrahim |
| 06 | Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kg. Tanah Jambu – Infrastruktur dan Perumahan | Alisan Jaya Sdn. Bhd. | YM Wu Chay Chin | YM Thomas Chin |

Spread the Word!