
Majlis Doa Selamat dan Perletakan Batu Asas Bagi Projek Baru Rancangan Perumahan Negara Kampong Meragang dan kampong Tanah Jambu telah diadakan pada hari Sabtu, 23hb Jamadilawal 1431H bersamaan 8hb Mei 2010.
Hadir selaku tetamu Kehormat untuk menyempurnakan majlis tersebut ialah Yang Berhormat, Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.
Bagi memastikan Kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini terjamin, semenjak tahun 1950an lagi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan dan melaksanakan beberapa program perumahan di seluruh negara. Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) adalah diantara perumahan utama yang berjalan pada masa ini.
Dalam usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran perumahan dan bagi memenuhi keperluan perumahan di Negara Brunei Darussalam, lebih kurang 17,500 buah rumah dan lot-lot tanah telah dirancang dan sedang dilaksanakan diseluruh negara. Dari jumlah ini, lebih kurang 10,000 unit perumahan dan lot-lot tanah adalah di bawah perlaksanakan Kementerian Pembangunan, iaitu melalui Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Kerja Raya.
Majlis tersebut melibatkan 4 kontrak yang telah dianugerahkan kepada 4 pemborong tempatan, yang mana melibatkan pembinaan lebih 1,500 buah rumah dan lot-lot tanah di Perumahan Rancangan Perumahan Negara kampong Meragang dan Kampong Tanah Jambu. Kedua kawasan perumahan ini akan menyediakan lebih kurang 4,000 unit perumahan dan lot-lot tanah menjelang tahun 2012.
Setakat ini, lebih kurang 5,500 unit perumahan dan lot tanah dibeberapa kawasan perumahan diseluruh negara adalah di dalam peringkat pembinaan. Sementara beberapa projek lagi adalah didalam proses tawaran yang mana akan menghasilkan lebih kurang 3,500 unit perumahan dan lot tanah. Selain dari itu, beberapa projek lagi yang akan menghasilkan lebih kurang 1,000 unit perumahan dan lot-lot tanah dijangka akan ditawarkan pada pertengahan tahun 2010 ini bagi mencapai penghasilan lebih kurang 10,000 unit perumahan dan lot-lot tanah menjelang tahun 2012.
Secara keseluruhan kontrak-kontrak yang ditandatangani pada hari ini bernilai lebih dari $150 juta dan kerajaan telah memperuntukan lebih $1.5 billion di bawah Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012 bagi projek-projek perumahan di bawah Skim Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ).
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Ameenah Bushral Bulqiah binti Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bagi mewakili salah sebuah syarikat pemborong iaitu Haqqah (B) sdn Bhd, Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Setiausaha Tetap dan Pemangku Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan dibawah Kementerian Pembangunan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong serta jemputan-jemputan khas.
Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam
Spread the Word!