english  |  malay

Spread the Word!

LAWATAN KERJA SETIAUSAHA TETAP ( PENTADBIRAN DAN KEWANGAN ), KEMENTERIAN PEMBANGUNAN YANG MULIA AWANG HAJI MOHAMMAD ROZAN BIN DATO PADUKA HAJI MOHD YUNOS KE TAPAK-TAPAK PROJEK PERUMAHAN DI DAERAH BRUNEI DAN MUARA, DAERAH TUTONG DAN DAERAH BELAIT

20/12/2010

Rumah adalah keperluan asasi manusia yang utama dan menjadi impian oleh setiap keluarga. Dalam menanai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’izzaddin Wadaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah merancang dan mengenalpasti beberapa buah kawasan Skim Perumahan Negara yang strategik dan mempunyai nilai-nilai sosial yang tinggi.

Projek Pembangunan Perumahan di negara ini telah kian pesat berkembang dan melangkah ke arah penghasilan yang maksima bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Dengan perancangan yang teliti dan bersistematik dengan menekankan nilai-nilai sosial tempatan adalah diharapkan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang ideal dan teratur. Dalam pada itu, projek-projek perumahan yang giat diusahakan pada masa ini diharapkan dapat memenuhi kehendak semasa dalam permintaan perumahan.

Pada hari Sabtu, 18 Disember 2010, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rozan bin Dato Paduka Hj Mohd Yunos, Setiausaha Tetap ( Pentadbiran dan Kewangan ) Kementerian Pembangunan mengadakan lawatan kerja ke beberapa tapak Projek di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Kemajuan, Jabatan Kerja Raya. Turut sama dalam rombongan lawatan tersebut ialah Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Kerja Raya.

Antara lain tujuan lawatan ialah bagi meninjau perkembangan Projek Perumahan yang dijalankan di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Sungai Buloh / Tanah Jambu Kanan, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Lugu, Rancangan Perumahan Negara Kampong Keriam, Rancangan Perumahan Negara Kampong Bukit Beruang, Rancangan Perumahan Negara Kampong Sungai Liang / Lumut, Rancangan Perumahan Negara Kampong Lorong Tengah dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Mumong. Adalah dianggarkan keseluruhan unit-unit rumah yang dilawati pada projek-projek pada hari ini adalah berjumlah lebih kurang 3,500 buah.

Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam