english  |  malay

Spread the Word!

ACARA BASIKALTON DISELAJURKAN DENGAN PERADUAN MEWARNA DAN MELUKIS SEMPENA HARI HABITAT SEDUNIA 2010

01/02/2011

Ahad 30 Januari 2011, Jabatan Kemajuan Perumahan telah menganjurkan acara Basikalton dan diselajurkan dengan Peraduan Mewarna dan Melukis. Kedua-dua aktiviti tersebut adalah bersempena Sambutan Hari Habitat Sedunia 2010. Tema Hari Habitat Sedunia pada kali ini menurut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah “Better City, Better Life” atau terjemahannya “Bandaraya Teratur, Kehidupan Selesa”. Tema ini mengajak kita semua untuk merenung sejenak akan pentingnya mewujudkan sebuah Bandar yang teratur bagi keselesaan kehidupan. Sinonimnya dengan acara hari ini ialah di mana kita penghuni-penghuni yang mendiami kawasan perbandaran perlu bergerak ke arah masyarakat yang prihatin. Antara elemen yang menjana ke arah itu ialah dengan mengamalkan kehidupan yang sihat dan proaktif.

Melalui kehidupan yang sihat ini, manusia selaku penghuni akan mempunyai daya ketahanan dalam merealisasikan kesinambungan demi mencapai sebuah kawasan perbandaran yang teratur lagi berperancangan. Adalah juga penting bagi kita untuk sama-sama mengembeling tenaga dalam apa jua program-program khususnya dalam membisaikan atau mengindahkan kawasan persekitaran. Hasilnya nanti akan terlaksana impian untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang harmonis, sihat yang hidup dengan selesa dan teratur. Dari acara ini juga banyak nilai-nilai kesepakatan silaturahmi dan norma-norma kehidupan yang akan terus tersemai dengan adanya keprihatinan masyarakat tentang betapa perlunya kita bekerjasama untuk bergerak dan membangun secara positif.

Menyentuh dengan Acara Basikalton pada pagi ini, sambutan daripada orang ramai sungguh menggalakkan. Berdasarkan daripada sambutan-sambutan yang lalu, terdapat segelintir warga asing yang bermastautin dan bekerja di Negara ini turut serta dalam ekspedisi berbasikal. Penyertaannya adalah dibukakan kepada orang ramai termasuk warga asing yang bermastautin di Negara ini. Tidak dapat dinafikan Penyertaan kali ini yang diterima bukan sahaja terdiri daripada pengemar-pengemar sukan berbasikal selaku tunjang dan nadinya, bahkan acara ini juga turut disertai oleh kanak-kanak dan golongan veteran yang ingin menyahut cabaran ekspedisi ini. Ternyata sekali acara ini setelah saban tahun ianya dikendalikan pastinya menerima penyertaan dan sambutan yang sungguh luar biasa dan menggalakkan.

Berbalik kepada objektif Acara Basikalton ini dianjurkan, antara lainnya pihak Kerajaan secara berterusan menggalakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan menjadikan basikal sebagai pengangkutan utama selain kereta. Di samping itu juga, kepada pengguna-pengguna jalanraya adalah juga diharapkan dan diperingatkan bahawa akan sentiasa mematuhi dan menyematkan dalam sanubari untuk bertimbang rasa. Pemandu-Pemandu kereta perlu peka bahawa basikal juga adalah kenderaan yang diberi kebenaran untuk menggunakan Jalanraya. Kita tidak mahu bahawa pengguna jalanraya yang menggunakan basikal diperlecehkan begitu sahaja. Terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan pengguna basikal terlibat dengan kemalangan. Hal ini adalah tidak wajar dan amat disesali. Ekspedisi berbasikal pada kali ini menjangkau kejauhannya lebih kurang 50 Kilometer, suatu pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh Jabatan ini sepanjang acara ini dilaksanakan sebelumnya. Ekspedisi bermula dan berakhir di Kawasan Ibupejabat Jabatan Kemajuan Perumahan, Lapangan Terbang Lama Berakas. Perjalanannya merentasi kawasan-kawasan seperti Perumahan Kampong Lambak, Perumahan Kampong Rimba, Perumahan Kampong Katok, Kawasan Kampong Jerudong dan Kampong Sengkurong dan Kampong Jangsak.

Sementara itu, bagi peraduan mewarna melukis yang dibahagikan kepada 2 kategori ; Kategori A ialah peraduan mewarna untuk kanak-kanak yang berumur 5 hingga 8 tahun, manakala Kategori B adalah untuk pertandingan melukis bagi umur 9 hingga 12 tahun. Bagi Kategori A, Jawatankuasa telah menyediakan lukisan khas, sementara itu bagi Kategori B, tajuk lukisan adalah “Rumah Idaman Masa Depan 2035”. Melalui acara ini nanti adalah diharapkan dapat memberi ‘input’ kepada Jabatan dalam merancang rekabentuk perumahan di masa depan. Kedua-dua acara ini menyediakan hadiah-hadiah yang istimewa kepada pemenang-pemenang dan di tempat saguhati. Pertandingan diadakan di lobi lantai bawah dan Dewan Serbaguna Jabatan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pembangunan. Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Pengarah Kemajuan Perumahan, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Bahagian Pembangunan Masyarakat & Perhubungan Awam